Wednesday, 5 January 2011

Warkah Salam Perpisahan

Assalamualaikum,

Salam Ukhwah buat semua warga Audit Pahang. Sebagaimana semua sedia maklum, saya Ab Hadi Daud telah ditukarkan untuk bertugas di Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar mulai 10 januari 2011. Maka dikesempatan ini saya ingin mengucapkan salam perpisahan buat semua ahli KESKAP. Saya juga ingin menyusun sepuluh jari memohon kemaafan di atas segala kesilapan dan terkasar bahasa yang telah mengguris mana2 hati dan perasaan rakan-rakan semua. Halalkan jua makan minum saya sepanjang perkenalan singkat kita ini.

Teman-teman sekalian, tiada rangkap kata yang mampu saya luahkan di sini bagi menggambarkan betapa manisnya saat kita berkongsi secebis kenangan di sini. Tiada melodi lagu yang mampu mengalunkan nyanyian syahdu bagi menceritakan betapa saya sememangnya ceria berkongsi sekelumit gelak ketawa di sini. Namun, percayalah bahawa kalian semua umpama guru yang mengajar saya erti pengalaman, bahawa kalianlah umpama teman yang sudi berkongsi gelak dan tangis. Dan kalian jualah umpama keluarga kepada saya, perantau yang hanya mencari sesuap rezeki di bumi kuantan ini. Terima kasih semua.

Yang pergi, pasti berganti. Doa saya semoga hari ini lebih baik dari semalam.Dan hari esok lebih baik dari hari ini. Semoga saya datang ke sini dan telah menjadi seorang yang lebih baik dari teman kalian yang sebelum ini. Dan yang pasti, pengganti saya nanti adalah lebih baik  dari saya.

Akhir kata, walau jauh di mata... moga kita dekat di hati. Dimana jua kita berada, sentiasalah kita berhubung.

Terima Kasih.

Wassalam