Wednesday, 5 January 2011

Warkah Salam Perpisahan

Assalamualaikum,

Salam Ukhwah buat semua warga Audit Pahang. Sebagaimana semua sedia maklum, saya Ab Hadi Daud telah ditukarkan untuk bertugas di Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar mulai 10 januari 2011. Maka dikesempatan ini saya ingin mengucapkan salam perpisahan buat semua ahli KESKAP. Saya juga ingin menyusun sepuluh jari memohon kemaafan di atas segala kesilapan dan terkasar bahasa yang telah mengguris mana2 hati dan perasaan rakan-rakan semua. Halalkan jua makan minum saya sepanjang perkenalan singkat kita ini.

Teman-teman sekalian, tiada rangkap kata yang mampu saya luahkan di sini bagi menggambarkan betapa manisnya saat kita berkongsi secebis kenangan di sini. Tiada melodi lagu yang mampu mengalunkan nyanyian syahdu bagi menceritakan betapa saya sememangnya ceria berkongsi sekelumit gelak ketawa di sini. Namun, percayalah bahawa kalian semua umpama guru yang mengajar saya erti pengalaman, bahawa kalianlah umpama teman yang sudi berkongsi gelak dan tangis. Dan kalian jualah umpama keluarga kepada saya, perantau yang hanya mencari sesuap rezeki di bumi kuantan ini. Terima kasih semua.

Yang pergi, pasti berganti. Doa saya semoga hari ini lebih baik dari semalam.Dan hari esok lebih baik dari hari ini. Semoga saya datang ke sini dan telah menjadi seorang yang lebih baik dari teman kalian yang sebelum ini. Dan yang pasti, pengganti saya nanti adalah lebih baik  dari saya.

Akhir kata, walau jauh di mata... moga kita dekat di hati. Dimana jua kita berada, sentiasalah kita berhubung.

Terima Kasih.

Wassalam

Tuesday, 21 September 2010

SUMBANGAN KEPADA ANAK YATIM

Keskap melalui Biro Kebajikan Dan Sosial telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang dan beras kepada Rumah Anak Yatim Permata Camar di alamat Lot 9015, Lorong Cempaka 1, Kg. Cempaka Penor, Kuantan. Sumbangan telah disampaikan oleh YDP Keskap En. Che Mohd Shukri Che Hassan. Turut serta ialah Penolong Setiausaha Keskap En. Bakhtiar Afindi Mat Dorein dan Pengerusi Biro Kebajikan Dan Sosial En. Kamarudi Kamaruddin. Diharapkan dengan sumbangan ini akan dapat meringankan beban pihak berkenaan terutama bagi menyambut Hari Raya Aidil Fitri.














SAMBUTAN AIDIL FITRI


Jawatankuasa Keskap yang bersidang pada 3 September 2010 telah memutuskan untuk mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri peringkat JANCP pada 30 September 2010 bersamaan 21 Shawal 1431H bertempat di JANCP, Aras 6, Wisma Persekutuan, Kuantan. Pihak Keskap juga akan menjemput sebilangan warga Wisma Persekutuan dan Agensi yang ada kaitan dengan JANCP di Majlis ini nanti. Sehubungan itu, diharap semua ahli Keskap dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan Majlis tersebut.

Sekian. Wassalam.

Friday, 3 September 2010

SALAM AIDIL FITRI


Biro Perhubungan & Seranta ingin mengucapkan "SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR & BATIN" kepada semua ahli Keskap. Semoga puasa Ramadhan kita diterima oleh Allah s.w.t dan Syawal kita penuh dengan kegembiraan dan keberkatan.


"Penghubung Informasi, Menyatu Komuniti"

CERAMAH AGAMA/TAZKIRAH RAMADHAN










Biro Agama Keskap telah pun mengadakan Majlis Ceramah Agama/Tazkirah Ramadhan pada 1 September 2010 bersamaan 22 Ramadhan 1431H yang lalu. Ceramah diadakan di Bilik Mesyuarat JANCP dan telah disampaikan oleh Ustaz Saruddin Muhammad dengan tajuk Äl-Quran Dan Kehidupan". Sesuai dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, diharap semua ahli Keskap telah mendapat ilmu yang disampaikan oleh Ustaz dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk menyampai dan mengamalkannya. Semoga kita diberikan hidayah oleh Allah s.w.t dan meningkatkan ketaqwaan kepadaNya. Insyallah.

"BERSAMA MENCARI KEREDHAAN ILAHI"

Biro Agama KESKAP